syarat menjadi peguam syarie

Memilih kerjaya sebagai peguam syarie memerlukan pemahaman mendalam tentang undang-undang Syariah serta kemahiran praktikal yang bersesuaian. Artikel ini ditulis untuk membantu anda melalui proses pembelajaran dan latihan yang diperlukan untuk menjadi seorang peguam syarie.

Mengapa Memilih kerjaya sebagai peguam syarie?


Peguam Syarie berperanan penting dalam meningkatkan kesedaran dan memperluas pengetahuan masyarakat tentang isu-isu syariah yang sering kali dilihat sebagai kompleks dan rumit.

Jika hakim syarie memainkan peranan sebagai penyambung legasi Rasulullah SAW sebagai hakim dalam urusan syariah, maka peguam syarie juga boleh dianggap sebagai penerus tradisi sahabat-sahabat Rasulullah SAW dalam memberikan pandangan dan nasihat yang adil berkaitan isu-isu syariah.

Kelayakan Peguam Syarie

Untuk kebanyakan negeri, syarat kelayakan untuk menjadi peguam syarie adalah seperti berikut:

  • telah mencapai umur dua puluh satu tahun;
  • beragama Islam;
  • sama ada warganegara atau pemastautin tetap Malaysia;
  • berkelakuan baik;
  • tidak pernah disabitkan di Malaysia atau di mana-mana tempat lain atas apa-apa kesalahan jenayah;
  • tidak dihukum sebagai seorang bankrap yang belum dilepaskan;
  • telah menghadiri dan lulus kursus pengajaran, latihan, pendidikan, temu duga atau peperiksaan yang ditetapkan oleh Lembaga, jika berkenaan; dan
  • telah menjalani latihan dalam kamar (6 bulan untuk kebanyakan negeri).

Artikel ini akan seterusnya membahas dengan lebih mendalam mengenai syarat akademik dan latihan dalam kamar di bawah.

Latihan Menjadi Peguam Syarie

Untuk memulakan perjalanan sebagai seorang peguam syarie, ada beberapa langkah penting yang harus diikuti, dimulai dengan memperoleh kelayakan akademik yang sesuai, latihan dalam kamar dan diakhiri dengan pentauliah sebagai peguam syarie.

Kelayakan Akademik

Untuk menjadi peguam syarie, beberapa negeri mewajibkan anda untuk memegang Ijazah Sarjana Muda Syariah. Tetapi itu tidak bermakna anda tidak boleh menjadi peguam syarie.

Jika anda tidak mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah, anda masih boleh menjadi peguam syarie di beberapa negeri dengan mengambil diploma pasca-Ijazah Syariah (juga dikenali sebagai DSLP, DSLA atau DAIJ), seperti di Wilayah Persekutuan.

Setiap negeri meletakkan syarat-syarat yang berlainan. Anda perlu lihat pada akta/enakmen kaedah peguam syarie pada setiap negeri.

Latihan Dalam Kamar (Chambering)

Setelah mendapat kelayakan akademik, anda perlu menjalani latihan dalam kamar (juga dikenali sebagai chambering). Terdapat negeri yang mensyaratkan 6 bulan dan ada yang mensyaratkan 9 bulan. Anda boleh merujuk kaedah peguam syarie di setiap negeri selama 6-9 bulan. Baca lebih mengenai chambering syariah di sini.

Ilmu yang diperolehi melalui pengalaman bersama penyelia latihan dalam kamar adalah berbeza pada setiap negeri kerana terdapat perbezaan budaya dalam beberapa hal seperti sistem fail mahkamah, urusan di kaunter mahkamah, adab berkomunikasi dengan hakim dan sebagainya. Percayalah, sekecil-kecil pengalaman yang diambil daripada chambering dapat memberikan nilai tambah yang tinggi.

Kami di NAI Hanan & Partners berbesar hati dan komited untuk membuka peluang kepada bakal peguam mengambil latihan dalam kamar bersama kami. Hubungi kami untuk dapatkan pengalaman yang akan membina masa depan anda.

Kursus dan Seminar Pembangunan Profesional

Jika anda telah melalu latihan dalam kamar, anda sudah diiktiraf sebagai peguam syarie. Namun, untuk menjadi peguam syarie yang berjaya, anda perlu sentiasa meneruskan pembelejaran.

Menyertai kursus dan seminar pembangunan profesional berkaitan hal guaman dan kehakiman adalah salah satu langkah penting yang tidak boleh diabaikan oleh sesiapa pun yang ingin berjaya dalam kerjaya sebagai peguam syarie.

Kursus dan seminar ini bukan sahaja tempat untuk belajar isu-isu baru, tetapi juga peluang keemasan untuk menambah jaringan dan hubungan dengan sesama profesional dalam bidang guaman.

Majlis atau pertubuhan peguam syarie negeri banyak menjalankan kursus yang boleh kita sertai, antaranya ialah Kursus Advokasi Guaman Syariah, Kursus Etika Guaman dan Kursus Penyediaan Pliding. Semua kursus ini dapat meningkatkan kemahiran dan memberikan pendedahan kepada peguam syarie tentang prosedur dan pengurusan di Mahkamah Syariah.

Kesimpulan

Memilih kerjaya sebagai Peguam Syarie bukan hanya tentang mengikuti jejak legasi sahabat-sahabat Rasulullah SAW dalam memberi nasihat yang adil, tetapi juga mengenai komitmen untuk terus berkembang dan berjaya dalam profesion yang penuh cabaran ini. Latihan peguam syarie bermula dari pendidikan akademik hingga latihan praktikal dalam kamar, adalah langkah penting dalam mempersiapkan calon untuk menghadapi dunia guaman syariah yang dinamik.

Di NAI Hanan & Partners, kami berbangga dapat membantu dan memajukan perjalanan kerjaya anda sebagai peguam syarie.